Tembakan Israel Bunuh Remaja Palestin

TEBING BARAT, 21 Mac (Al Jazeera) -- Tentera Israel telah membunuh dua orang remaja Palestin di dalam pertengkaran di Tebing Barat, menurut seorang pegawai perubatan.

Muhammad Qadus telah menyertai demonstrasi pada hari Sabtu, di mana batu-batu telah dibaling ke arah tentera Israel di Iraq Burin yang berhampiran bandar Nablus, Tebing Barat.

Pegawai hospital berkata remaja yang berusia 16 tahun tersebut mengalami kecederaan di jantung kerana peluru yang ditembak tentera Israel.

Muhammad Qadus telah diisytiharkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di hospital tempatan.

Sumber pasukan perubatan menyatakan bahawa ambulans Bulan Sabit Merah yang dihantar untuk membawanya ke hospital telah dilengahkan oleh tentera Israel.

Peluru hidup?

Tentera Israel menyatakan bahawa anggotanya tidak menembak menggunakan peluru hidup, tetapi menggunakan senjata pengawal rusuhan seperti gas pemedih mata dan peluru getah untuk meleraikan penduduk Palestin yang mendekati sebuah penempatan Yahudi berdekatan.

Walau bagaimanapun, sumber lain menyatakan kepada Al Jazeera bahawa Muhammad Qadus ditembak dan terbunuh akibat dua peluru hidup di dadanya.

Pertengkaran tersebut juga telah menyebabkan kematian seorang lagi remaja Palestin yang berusia 16 tahun, dikenali sebagai Useid Abed an-Nasser Qadus, yang juga sepupu kepada Muhammad Qadus yang turut terbunuh. Sumber perubatan memberitahu, beliau telah ditembak di kepala dan meninggal dunia di hospital.

Seorang jurucakap tentera Israel menegaskan bahawa kedua-dua remaja Palestin telah dicederakan oleh senjata pengawal rusuhan berbanding peluru hidup.

Pertengkaran berlaku hampir setiap minggu di perkampungan yang berhampiran telaga air di mana penduduk Palestin mendakwa pendatang Yahudi berusaha merampasnya untuk kegunaan sendiri.

Kematian ini merupakan yang pertama sejak beberapa siri pertengkaran yang tercetus berikutan pentakdisan 'synagogue' purba oleh Israel di Kota Lama Baitul Maqdis dan berkemungkinan akan meningkatkan ketegangan.


Penduduk Palestin sedang mengusung jenazah Muhammad Qadus (kiri) dan Useid Qadus (kanan) yang dibunuh oleh tentera Israel (21 Mac 2010).


Penduduk Palestin sedang melakukan solat jenazah kepada Muhammad Qadus dan Useid Qadus (21 Mac 2010).


Pegawai perubatan Palestin sedang merawat seorang peserta demonstrasi yang cedera, susulan pertengkaran yang tercetus dengan tentera Israel di Iraq Burin, Tebing Barat (20 Mac 2010).

*Artikel ini diterjemah oleh N.A. Rahman daripada laporan berita Al Jazeera. Sumber foto daripada http://www.daylife.com/. 

0 Komen:

Post a Comment

top