Pelayaran Flotila Kapal Bantuan ke Gaza Tertunda


CYPRUS, 29 Mei (Al Jazeera) -- Pelayaran konvoi flotila kapal-kapal bantuan ke Jalur Gaza di wilayah Palestin telah tertunda. Kapal-kapal tersebut masih berada di Cyprus, dekat Laut Mediterranean, pada hari Sabtu selepas Israel mengancam akan menggunakan kekerasan untuk menghalang mereka sampai ke Gaza.

Ratusan aktivis pro-Palestin mengikuti konvoi flotila ini yang mempunyai tujuan untuk sampai ke Gaza dan ini bertentangan dengan sekatan Israel ke atas wilayah tersebut.

Sekumpulan 25 ahli parlimen Eropah menyertai konvoi flotila tersebut, tetapi beberapa laporan mengatakan bahawa pihak berkuasa Cyprus menghalang ahli-ahli politik ini daripada meninggalkan negara tersebut untuk terus menyertai konvoi kapal-kapal tersebut.

Keputusan untuk menentukan waktu untuk konvoi flotila tersebut berlepas mungkin diumumkan pada hari Sabtu, jelas Audrey Bomse daripada Free Gaza Movement (FGM) kepada agensi berita AFP.

Rundingan

"Sebuah keputusan akhir mengenai pelepasan konvoi flotila dapat dibuat kerana beberapa orang yang masih cuba berunding di atas kapal Turki di dalam konvoi itu", kata Bomse.

Konvoi flotila tersebut dijangka akan berangkat pada hari Sabtu, tetapi hanya dapat mendarat di Gaza pada hari Ahad.

"Konvoi flotila itu tidak akan mendekati Gaza sehingga esok (Ahad) kerana kita tidak mahu memasukinya dalam keadaan gelap. Masalah-masalah ini tidak akan menghentikan kami," kata Bomse.

Thomas Sommer-Houdeville, seorang aktivis Perancis yang menyertai salah satu kapal konvoi flotila, berkata: "Kami sedang belayar ke sempadan perairan Cyprus untuk cuba berunding dengan pihak berkuasa".

Sommer-Houdeville mengatakan bahawa pihak berkuasa Cyprus telah menahan kapten daripada kapal yang akan membawa ahli politik dan menaikinya pada Jumaat malam.

Beliau mengatakan bahawa kapten itu kemudiannya dibebaskan.

'Provokasi'

Penganjur konvoi flotila mengatakan bahawa pegawai kerajaan Cyprus masih belum menunaikan janji untuk melepaskan kapal dengan belayar dari perairannya. Para aktivis telah menuduh bahawa tekanan Israel telah mempengaruhi pihak berkuasa Cyprus.

Kerajaan Hamas, pemerintah de facto di Jalur Gaza, mengatakan bahawa konvoi flotila tersebut akan mencipta sejarah dengan menghantar mesej tegas bahawa kepungan yang berlaku di Gaza akan dipatahkan.

Israel mengatakan bahawa kapal-kapal konvoi telah memulakan "tindakan provokasi" dengan tentera Israel dan bukannya memberikan bantuan, seterusnya menerbitkan waran untuk melarang mereka masuk ke Gaza.

Mereka menegaskan bahawa konvoi tersebut akan menyalahi undang-undang antarabangsa dengan mendarat di Gaza, walau bagaimanapun kenyataan ini disangkal dengan tegas oleh penganjur konvoi.

Israel mengatakan bahawa mereka akan menahan kapal-kapal dan penumpang-penumpang kapal di Pelabuhan Asdod.


Kapal persiaran Turki, Mavi Marvara, merupakan salah satu kapal yang menyertai konvoi yang membawa aktivis pro-Palestin dan bantuan kemanusiaan ke Gaza.


Kira-kira 700 aktivis pro-Palestin yang menyertai pelayaran berbahaya konvoi.


*Artikel ini diterjemah oleh N.A. Rahman daripada laporan berita Al Jazeera. Sumber foto daripada http://www.daylife.com/ dan Al Jazeera.

0 Komen:

Post a Comment

top